Novel Beruk @ Chot - Komsas Tingkatan 3

Novel Beruk @ Chot merupakan novel terpilih yang menjadi rujukan Komsas Tingkatan 3 yang mula digunakan pada tahun 2017. Novel ini adalah hasil karya Azizi Haji Abdullah.

Novel Beruk @ Chot merupakan pemenang Kategori Novel Kanak-kanak dalam Anugerah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Kategori Kanak-kanak dan Remaja)

Novel Beruk @ Chot

Sinopsis Novel

Berikut adalah sinopsis keseluruhan Novel Beruk @ Chot
"Beruk" mengulit jiwa kita tentang pertautan hidup antara makhluk ciptaan tuhan - manusia dan haiwan. Dan terkadangkala dalam menempuh pancaroba kehidupan, haiwan lebih memahami keadaan diri kita daripada manusia itu sendiri.

Novel Beruk mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Lias yang tinggal bersama-sama ibunya yang lumpuh setelah kematian ayahnya. Lias memelihara Pon, beruk yang dijinakkan oleh bapanya. Lias membawa Pon mengambil upah memetik buah kelapa.

Konflik timbul apabila Pon hilang pada suatu pagi. Lias berusaha mencari Pon sehingga lewat datang ke sekolah dan dimarahi oleh gurunya Cikgu Sunan. Tindakan Cikgu Sunan menampar pipi Lias telah menambahkan konflik dalam hidup Lias.

Kekuatan perwatakan Lias terpamer apabila dia sangat menjaga hati semua orang yang disayanginya. Walaupun dia mengalami kesakitan akibat telinganya bernanah, dia tidak pernah menceritakannya kepada ibu dan rakannya Som. Lias berusaha menanggung perbelanjaan keluarga dan rawatan ibunya yang lumpuh.

Akibatnya, Lias langsung tidak hadir ke sekolah, tetapi masih tetap mengulang kaji pelajarannya. Kegagalan Lias hadir ke sekolah telah menyebabkan Cikgu Sunan mula menyedari kesilapannya. Cikgu Sunan akhirnya datang ke rumah Lias. Akhirnya beliau mengetahui kesusahan Lias dan berusaha untuk membantu.

Pon tersalah anggap terhadap Cikgu Sunan kerana disangkanya guru itu akan mencederakan Lias. Lias pula telah bertindak membunuh Pon semata-mata mahu menyelamatkan Cikgu Sunan ketika guru itu datang ke rumahnya. Ternyata kasih sayang Lias terhadap gurunya telah membuatkan Cikgu Sunan berjanji untuk menyara Lias hingga ke universiti.

Pengajaran

Antara pengajaran yang boleh diperoleh dari Novel Beruk
  1. Guru itu haruslah menjadi pendidik bukan mengajar sahaja
  2. Kepandaian milik semua orang tidak kira miskin / kaya yang penting rajin berusaha.
  3. Miskin itu mengajar manusia nilai hidup dan mempunyai pekerti yang tinggi.
  4. Binatang juga makhluk Allah mempunyai perasaan melindungi orang yang disayangi.
  5. Rezeki ini milik Allah tertutup satu pintu rezeki Allah akan membuka pintu rezeki yang lain.

Ulasan Novel Beruk

Berikut adalah ulasan Novel Beruk @ Chot dari Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 - sumber

Dilihat dari aspek kekuatan dan kesatuan organik karya, novel Beruk diakui mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Lias, seorang murid darjah lima yang berjiwa polos dan luhur, namun bersemangat kental dan bergantung hidup dengan membawa beruk peninggalan arwah bapanya untuk mencari rezeki. Kehilangan Pon, beruknya mencambahkan konflik Lias untuk berhadapan dengan pelbagai dugaan yang tidak dijangka.

Pengarang berjaya mewujudkan kekuatan penceritaan yang tekal untuk menarik minat pembacaan yang berterusan. Secara organik juga, novel ini dibina dengan binaan struktur yang utuh sehingga sukar untuk mencari ruang kelemahan yang signifikan. Watak Lias, seorang murid tahun lima di sebuah sekolah luar bandar dibina dengan baik oleh pengarang sehingga pembaca dapat merasai keperitan hidup watak tersebut di sepanjang plotnya. Kekuatan watak ini dikukuhkan dengan watak sampingan seperti Cikgu Sunan yang tegas, ibunya yang lumpuh, Som yang prihatin, beruknya Pon yang jinak dan kuat bekerja, dan persekitaran kampung yang jauh di pedalaman.

Rentetan peristiwa hubungan Lias dengan beruknya telah menzahirkan wadah penikmatan kasih sayang antara manusia dengan haiwan dan sebaliknya. Pon, watak beruk tersebut diberikan peranan yang besar oleh pengarang untuk menampakkan kesatuan organik yang utuh dan dicernakan dengan baik, menarik, serta tidak membosankan.

Kemantapan aspek struktural lain seperti nilai-nilai positif, pengajaran-pengajaran, dan unsur kemanusiaan yang utuh dapat menonjolkan kekuatan novel ini berbanding novel-novel lain yang diketengahkan. Persoalan-persoalan yang ditonjolkan juga ada keaslian tersendiri apabila pengarang menggunakan hubungan dan kasih sayang watak Lias kepada beruknya, kepada rakannya, kepada ibunya, dan kepada gurunya yang tegas.

Jelas, kasih sayang tidak terhad sesama manusia, malah haiwan juga mempunyai naluri kasih sayang yang luas biasa. Pon bertindak menyerang Cikgu Sunan kerana disangka Cikgu Sunan mahu melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap Lias ketika guru itu memeriksa telinga anak muridnya yang bernanah. Perwatakan Lias yang menyayangi semua yang ada dalam dunianya biarpun dia sendiri yang menderita wajar diteladani oleh pembaca khususnya golongan kanak-kanak yang sebaya.

Kekuatan novel ini juga banyak bergantung pada kepengarangan pengarang yang matang dan berpengalaman. Keupayaan estetika yang tinggi dipaparkan di sepanjang perkembangan plot sehingga pembaca seolah-olah dapat merasai keterlibatan langsung dalam karya, dapat menderitai kesakitan watak, merisaukan kepayahan, dan mewajarkan tindakan-tindakan.

Sesungguhnya, pengarang berhasil mencambahkan keindahan moral yang digarap dengan teliti dan tidak berlebih-lebih sehingga menampakkan seperti dibuat-buat. Keindahan moral ini sudah tentu menyerlahkan dampak nilai secara intrinsik dan ekstrinsik yang disuguhkan oleh pengarang.

Di samping itu pengarang juga melontarkan kritikan terhadap masyarakat yang bertindak melulu tanpa menyelidik sesuatu perkara secara lebih jelas. Selain itu, kedaifan hidup masyarakat desa yang kurang pembelaan juga dapat menyedarkan kita bahawa tidak semua manusia bernasib baik dan perlu dibantu. Ternyata kreativiti penulis dalam melontarkan kritikan sosial dalam novel ini sangat menyerlah dan berkesan.

Novel ini pasti dapat menarik minat pembaca sasaran iaitu peringkat akhir kanak-kanak kerana bahasanya yang berterus terang, mudah, dilengkapi glosari, berjaya meruntun emosi, dan berlatarkan budaya Melayu tipikal bersesuaian dengan latar zamannya yang semakin dilupai oleh generasi masa kini.

Novel Beruk @ Chot


Komsas Tingkatan 3

Novel Beruk @ Chot merupakan satu daripada empat buah buku yang terpilih sebagai rujukan Komsas Tingkatan 3 tahun 2017 hingga 2021 mengikut zon.

Berikut adalah Novel Komsas Tingkatan 3 untuk rujukan Tema, Sinopsis Keseluruhan dan Setiap Bab, Watak & Perwatakan, Persoalan, Plot, Latar Tempat, Latar Masa, Latar Masyarakat, Nilai, Pengajaran
4 Komentar untuk "Novel Beruk @ Chot - Komsas Tingkatan 3"
Tanpa Nama
delete

mana latar,gaya bahasa,watak dan perwatakan dan juga teknik dan binaan plot?

Tanpa Nama
delete

BETUL MANANYA?????

Tanpa Nama
delete

mmm

Tanpa Nama
delete

Mne gaya bahasa .cikgu sya marah sya tau sbb sya x dpt jwp

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 BMBlogr - All Rights Reserved